May 9, 2010

Anak Oh Anak

Petang Jumaat, sekembali dari sekolah anak ku menangis-nangis. "Kenapa mama tak bekalkan abang duittt?" katanya. "Eh? Mama dah letak dalam beg abang pagi tadi. Hilang lagi ke?"jawab ku pantas. "Bukan duit belanja lah mama, tapi duit bayar barang yang abang tempah kat cikgu. Kan abang dah banyak kali cakap, abang dah tempah sekuntum ros segar, 3 puding dan cupcake untuk mama. Mama tak ingat ke?" jelas si abang panjang lebar. "Cikgu tak cakap apa-apa pun pada mama... Lagi pun kalau mama bagi duit 'besar' nanti kena curi lagi" balas ku. "Ishh mama ni! Abang sorang je tak dapat barang. Kawan-kawan semua dapat barang" kesalnya. Sepanjang malam dia mengomel-ngomel hal yang sama diselang-seli dengan tangisan sebab kecewa tak dapat barang yang dihajatinya untuk dihadiahkan kepada mama. Kesian anak mama seorang ni. Tak sangka pulak boleh jadi macam ni...

Esoknya, seawal bangun pagi si abang dah mengajak ayahnya ke kedai untuk belikan sesuatu. "Hadiah untuk mama" katanya. Kebetulan pula pagi Sabtu tu berlangsungnya karnival kanak-kanak anjuran pengurusan tadika berhampira kawasan perumahan ku. Sekembali dari karnival, si abang dan ayahnya singgah di kedai berhampiran untuk melunaskan janjinya pada si abang. Malangnya, tak ada satu benda pun yang berkenan di hati si abang. Cerewet jugak anak bujang ku ini hhmmm...ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi...ehehe

Sepanjang petang dan malamnya si abang masih tak berpuas hati. Masih merungut dan kadang-kadang menangis. Topik utamanya masih sama, nak belikan mama hadiah. Tanpa henti mulutnya mengomel-ngomel, dia nak dapatkan bunga ros segar seperti tempahannya tempohari. Walaupun dah berkali aku nyatakan, mama tak perlu semua tu, sekadar ingatan kasih-sayang untuk mama sampai bila-bila pun dah memadai. Ayahnya pula berpesan, bila abang dah dewasa  kelak dan dah mampu berbelanja sendiri, abang boleh beli kan mama apa saja yang abang hajati. Tapi si abang masih juga dengan pendiriannya. Langsung tidur si abang malam itu penuh dengan harapan, semoga esoknya dia dapat belikan sesuatu untuk mamanya.

Seawal pagi Ahad, celik je mata si abang dah mulakan 'drama' nya semula. Merengek-rengek nak belikan mama sesuatu yang dia sendiri masih tak pasti apa yang nak dicarinya. Pada asalnya, ku buat tak endah tangisannya dengan harapan bila letih akan berhenti dengan sendirinya. Ntah kenapa, dengan tidak semena-mena timbul pula satu idea beserta satu alasan yang agak kukuh.

Segera ku pujuk si abang supaya mandi dan  minum pagi. "Selepas mandi, breakfast abang boleh buatkan kad untuk mama. Gunakan design dari internet. Nak tak?" pujuk ku pada si abang. Mulanya idea ku tak diendahkan. Tapi selepas ku tokok tambah dengan alasan "Kan lebih baik kalau abang boleh buat sendiri kad untuk mama dengan kata-kata yang abang nak tulis daripada abang beli kad yang dah tentu kata-katanya ditulis oleh orang lain". Ternyata idea ku di'beli'nya. Sepantas boleh si abang ke bilik air untuk mandi dan untuk pertama kalinya menjadi orang terawal duduk di depan komputer di pagi cuti...eheheh, abang, abang....

Selepas ku 'selongkar' google, akhirnya terjumpa satu laman khas mereka kad ucapan. Maka aku dan si abang cari design mengikut citarasanya. Semua ku lakukan bersamanya kecuali ruangan  menaip teks ucapan. Ku di'halau'nya keluar dari bilik untuk seketika. "Jangan intai yer mama, dah siap nanti, dah nak print abang panggil". Seperti yang dijanjikan, aku dipanggil hanya untuk mencetak kad yang direkanya. Sambil mencetak, sambil tapak tangannya menutup skrin monitor "Jangan lah tengok dulu mama" pintanya. Si adik menjadi teman setia menunggu di sisi abang. Sesekali si adik memujuk "Lepas ni, adik puyak yer, abang? Adik nak kad manyak-maanyakk"

Selepas selesai segalanya. Kad diserahkan kepada ku. Berbunga-bunga gembira jelas kelihatan air muka abang. Bila ku selak kad ciptaannya, aku jadi sebak. Runtun hati seorang ibu. Ku tahan airmata dari keluar. Sebab??? ....teks ucapan bewarna merahnya betul-betul ikhlas datang dari hati seorang anak:

SELAMAT HARI IBU MAMA ONIE
OQIB TAK DAPAT BELI HADIAH, JADI
OQIB BUAT KAD KHAS UNTUK MAMA
OQIB SAYANG MAMA, I LOVE MUM

Walaupun bahasanya tak sesempurna mana, tapi apa yang diucapnya akan ku ingat sampai bila-bila. ...

Si adik masih terlalu kecil untuk faham. Masih leka dengan kad rekaannya. Sibuk mencetak sebanyak boleh kad untuk ayah, nenek, kawan-kawan, mak uda dan sesiapa saja yang terlintas di fikirannya.

Alahai....anak oh anak.

1 comment:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails