May 2, 2017

~ R.E.D.H.A. ~

 Salam sayang untuk semua...

Baru lepas membaca posting fb sahabat lama. Terkesima.
Sahabat kehilangan beg yang
berisi dokumen penting keluarga. Tak keruan sahabat dibuatnya. Melayang kekuatan jiwa dan akal katanya. Usai solat, sahabat pasrah berdoa. Kalau lah itu (kehilangan) yang terbaik untuk ku, aku redha. Kuasa ALLAH S.W.T yang Maha Mendengar,  beg yang hilang di 'kembali' juga kepada sahabat. Allahuakbar..


Terimbau beberapa insiden yang hampir sama berlaku. Pernah diuji sakit telinga yang sangattt teruk, hampir terjejas pendengaran. Bukan sehari dua menanggung sakit, berminggu minggu hampir mencecah bulan. Muak makan berulam ubat. Terkadang rasa seperti duduk di dalam gua, segala bunyi kedengaran bergema tapi terkedap.

Bila duduk, telinga berdengung, bila baring, kepala sakit. Serba tak kena rasanya. Sombong dan ego menguasai sabar yang kian menipis. Bukannya berzikir memuji kekuasaan ALLAH tapi omelan menyalahkan takdir jadi siulan umpama nyanyian tak berdendang

..Asyik asyik aku je yang sakit!!!! Mana lah nak tahan macam ni!!! 
Astaghfirullah. Ya ALLAH, ampunkan hamba Mu yang lemah ini :(:(



 Sampai lah suatu masa, bila ALLAH sesungguhnya menguji. Ditarik Nya seketika nikmat pendengaran yang dipinjamkan. Terasa ruang udara kosong sekosongnya, alam sekitar sunyi sesepinya. Perlahan kesedaran menyapa akal fikiran. Terbit keinsafan menyerah diri bermunajat kepada ALLAH..

Ya ALLAH, sekiranya nikmat pendengaran yang Kau pinjamkan ini 
Kau ambil semula, aku REDHA kerana Engkau yang Maha Mengetahui
 apa yang terbaik untuk ku..

Sebak rasanya bila mengenangkan kesukaran anak lelaki ku selama ini. Pendengaran kanannya terjejas dari usia bayi kerana serangan penyakit otitis media. Begini lah agaknya apa yang anak ku rasa. Walaupun hanya sebelah telinga yang terjejas, pendengarannya hanya sejarak 1m sahaja. Kesempurnaan nya dah tidak sama seperti dulu. Dia insan terpilih. Kekurangan pada diri nya adalah ujian untuk aku sabar, redha dan ikhlas menerima seadanya. Bukan menyalahkan takdir semahunya

Apabila kesedaran bangkit, keredhaan pun timbul. Pendengaran yang hilang, ALLAH pulihkan seperti sediakala. Alhamdulillah, terima kasih ALLAH!!!

Suffering is a gift. In it is hidden mercy, Masha Allah... :'(

Ada kalanya, bila kehidupan kita ditimpa ujian demi ujian. Akan sampai jua ke satu titik, di mana kita akan diam, redha dan pasrah untuk segalanya. Kita ikhlas menerima kerana lillahitaala. Tidak lagi mempersoalkan, kenapa ATAU untuk apa ujian itu diturunkan? ATAU mengapa aku yang diuji?

Rasulullah S.A.W pernah bersabda,

"REDHAILAH
segala sesuatu yang Allah bagi kepadamu
engkau pasti menjadi manusia yang paling
CUKUP"

(Diriwayatkan oleh Ahmad At-Tarmidzi)

Redha bukan bermakna tanpa tangisan tetapi adalah penerimaan tanpa persoalan terhadap apa yang telah ditentukan oleh ALLAH


p/s: Sabar dan redha kunci ketenangan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails